Tuesday 17 December 2013

Mahasiswa dan Ilmu-Membina Generasi Iqra'



Ayat pertama yang diturunkan di dalam Islam ialah Iqra’


Sebahagian kita hanya melihat itu adalah kepentingan Islam terhadap pentingnya ilmu. Bila dikatakan ‘membina generasi iqra’, ramai yang melihat ianya membina generasi berilmu. Namun saya sering melihat ia sebagai sesuatu yang lebih signifikan. Lebih besar.


Mahasiswa adalah satu lapisan komuniti yang mempunyai potensi yang tidak terhingga. Mahasiswa boleh menjadi kepimpinan negara, juga boleh menjadi yang merobohkannya. Nilai intelek, kreativiti, semangat, tenaga yang wujud pada anak-anak muda, bukanlah satu perkara yang patut dipandang sebelah mata.


Oleh orang lain, juga oleh mahasiswa itu sendiri. Kita bermula dari diri mahasiswa itu sendiri. Makanya mahasiswa perlu menyedari, membina dirinya untuk menjadi generasi Iqra’.


Apakah generasi Iqra’ itu?






Bermula Dengan Bacalah, bukan Berimanlah


Allah SWT menurunkan ayat pertama untuk Islam dengan ayat ‘bacalah’. Iqra’


Tidak Dia turunkan agama ini bermula dengan ayat – Berimanlah!


Tidak juga Dia turunkan agama ini bermula dengan arahan – Wahai Muhammad, pergilah menyeru manusia lain beriman kepadaKu!


Tetapi lafaz yang pertama, ialah Iqra’.


Apa yang perlu dilihat di sini ialah, Islam mengutamakan kefahaman. Tidaklah Islam itu datang dengan paksaan untuk beriman. Tetapi Islam datang membawa pencerahan, menambah kefahaman dan membuka minda manusia terhadap kebenaran.


Di sana kita lihat lengkapnya ayat Iqra’ ini dengan – Iqra’ bismirabbik al-ladzi kholaq. Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan.


Kita diarahkan untuk memperdalamkan kefahaman kita, untuk mencari sebuah kebenaran. Membuka minda kita untuk melihat apa yang sebenarnya perlu kita laksanakan di dalam kehidupan ini. Ayat itu diikat dengan – ‘dengan nama tuhanmu yang menciptakan’. Seakan-akan kefahaman itu perlu bermula dengan kita mempersoalkan diri kita.


Siapakah kita? Mengapa kita didatangkan? Dan ke mana kita akan pergi?


Antara soalan paling asas yang terbaik untuk kita mulakan perjalanan mencari kebenaran. Di sana kita akan melihat bahawa kita bukanlah hamba kepada mana-mana orang, juga mana-mana sistem, juga mana-mana ism. Tetapi kita bermula sebagai hamba kepada Allah SWT. Kita hanya tunduk kepada sistemNya. Dia sahajalah Tuhan kita.


Bila kita meneruskan pembacaan kita, kita akan bertemu dengan pelbagai bukti menunjuk ke arah ini. Terutama apabila kita menelaah Al-Quran itu sendiri.






Mahasiswa Dan Perhambaan Moden


Hari ini mungkin kita tidak dipaksa untuk sujud kepada berhala. Tetapi sentiasa sebenarnya syaitan itu berusaha dan tidak berputus asa. Berhala muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa, jikalah kita ini tidak mempunyai minda yang sedar dan kebenaran tidak terbuka kepada kita, maka secara tidak sedar, kita telah sujud kepada berhala-berhala moden ini.


Berhala tersebut sama ada muncul dalam bentuk sukan, game, fesyen, parti politik dan sebagainya. Apa sahaja perkara yang mensisihkan kita daripada perhambaan kita kepada Allah SWT, hingga kita mampu mengenepikan tanggungjawab kita terhadapNya. Maka itulah dia berhala moden hari ini.


Mahasiswa sepatutnya mengambil semangat Ibrahim AS, yang kala usia mudanya telah menggapai kesedaran ini dengan ‘membaca’ suasana kelilingnya hingga terbuka kepadanya kebenaran. Sama-sama kita perhatikan kisahnya yang tercatat di dalam Al-Quran:


Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”. Surah Al-An’am ayat 74-79.


Dan lihatlah bagaimana pemuda ini kemudiannya memusnahkan berhala-berhala yang ada.


Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): “Mengapa kamu tidak makan? “Mengapa kamu tidak menjawab?” Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul). (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya. (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: “Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!” (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu”. Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Surah As-Saffat ayat 91-98.


Kebenaran membuatkan dia berani memecahkan berhala-berhala tersebut.


Bukanlah apa yang saya tulis ini hendak menyeru kepada merosakkan rumah ibadat orang lain. Tetapi apa yang hendak saya serukan adalah agar mahasiswa-mahasiswi menjadi generasi yang mencari kebenaran, untuk seterusnya menjadi berani merobohkan berhala-berhala di dalam diri mereka, sekaligus tampil sebagai peribadi-peribadi yang boleh diberikan tanggungjawab untuk memimpin ummah ini.


Amat malang apabila mahasiswa yang mempunyai potensi yang tidak terhingga, tidak bergerak mencari kebenaran di dalam kehidupannya. Sangat rugi apabila golongan ini menjadi sempit, jumud dan terperangkap hanya dengan satu-satu cara fikir semata-mata.


Sedangkan untuk mengemudi ummat ini, yang mempunyai pelbagai jenis manusia, pelbagai jenis kaum, ditambah dengan pelbagai jenis ancaman baik yang jelas atau yang tersembunyi, kepimpinan perlu bijak dan matang untuk menjadikan pengemudian ini satu perkara yang berjaya.






Penutup: Membebaskan Minda dan Jiwa


Maka kita kembali kepada asalnya.


Menjadi generasi yang membaca. Membaca tidak semestinya membaca buku semata-mata. Membaca boleh jadi dengan tangan – bereksperimen, mengkaji. Membaca boleh jadi dengan kaki – berjalan, mengembara, pergi ke majlis ilmu. Membaca boleh jadi dengan mulut – bersembang dengan orang yang lebih tua. Membaca boleh jadi dengan mata – buat perhatian, membaca buku, menonton dokumentari.


Yang pastinya, kita tidak memenjara diri kita hanya dengan buku teks dan mata pelajaran kita semata-mata. Tidak cukup kita merasa lega hanya dengan usrah dan apa yang mas’ul kita suapkan buat kita.


Binalah diri yang kritis dan kreatif. Sambil mempunyai prinsip.


Lihatlah kala Allah SWT menurunkan ayat pertama itu, dipesankan agar kita ‘membaca dengan nama Tuhan yang menciptakan’. Yakni ilmu ini, pencarian ini, kita cari adalah untuk memperhambakan diri kita, dan orang lain kepada Allah SWT.


Tuhan kita hanya Allah SWT. Bukan orang lain. Bukan sistem lain. Bukan perkara lain.


Maka mulakanlah perjalanan ini. Kala diri masih muda, otak masih cerdas, mata masih tajam, tenaga masih banyak. Mengapa perlu menjadi orang tua yang menyesal dengan pembaziran masa mudanya.


Lebih teruk, nanti menjadi orang tua yang tidak menyesal kerana dia langsung rasa selesa dengan apa sahaja yang dunia suapkan kepadanya.


Semoga Allah menjadikan kita manusia yang cerah mindanya, bersih jiwanya.


Rabbi zidna ilma nafi’a, war zuqna fahman wasi’a!

No comments:

Post a Comment