Tuesday 17 December 2013

Di Mana Kita Di Hadapan ALLAH..



Hari berganti hari, kita menyaksikan perkembangan teknologi yang semakin signifikan fungsinya dengan gaya hidup orang muda.

Mungkin zaman Friendster, My Space dan yang sewaktu dengannya telah tinggal menjadi kenangan yang dilupakan..

Namun, dengan perkembangan teknologi yang ada ini, sungguh wajarlah kita bertanya pada diri, di manakah kita hari ini di hadapan Tuhan yang Maha Esa?

Zaman Yang Mencabar Keimanan

Hidup di zaman teknologi ini mendekatkan kita dengan pelbagai sumber ilmu dan kebenaran, tetapi manusia semakin hilang sensitiviti di hadapan Tuhan.

Di zaman video tazkirah dan peringatan sangat banyak di laman sesawang, video maksiat dan dosa juga sangat mudah diakses. Di zaman peringatan sangat banyak di’share’ di dinding MukaBuku, tak kurang juga ramai yang mempromosi dosa di dinding yang sama. Laman sesawang yang menghubungkan manusia seumpama Facebook dan Twitter seakan-akan telah menjadi pasaran lambak untuk promosi diri secara murahan melalui gambar bercouple, gambar dan video murahan maruah wanita.

Bagaimanakah kita melalui semua ini?

Dengan akaun Facebook serta laman sesawang semua ini, siapakah kita di hadapan Tuhan pada hari ini?

Apakah taqwa kita semakin bertambah dengan membaca peringatan-peringatan yang banyak melata di dinding-dinding kehidupan maya ini?

Apakah semakin tertingkat prestasi ibadah dan ilmu kita dengan menatap dinding yang penuh informasi ini?

Sungguh, ini zaman yang mencabar keimanan.

Peringatan dan tazkirah populis banyak melata, tetapi seakan tiada mengesani jiwa.

Di manakah kita dengan tazkirah yang telah kita hadam sebentar tadi selepas kita keluar meninggalkan akaun FB dan laman sesawang kita yang lain? Apakah ia telah diterjemah ke dalam kehidupan?

Atau ia hanya akan semata-mata tinggal sebagai pesanan populis untuk ditatap oleh ramai orang?

Menggerakkkan Kesedaran Bermula Dari Diri Sendiri


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” [Ar-Ra’d : 11]

Inilah esensi kepada perubahan masyarakat yang lebih besar. Untuk mengubah ummat, ia bermula dari mengubah apa yang ada pada diri kita sendiri.

Slogan perubahan, jangan hanya dilaungkan kuat di medan-medan status FB sahaja ataupun program-program dalaman kumpulan kita. Perubahan bukan slogan untuk dilaungkan, ia adalah tindakan untuk direalisasikan.

Kita tidak akan dapat mengubah nasib ummat ini sekiranya kita tidak bermula dengan mengubah kelalaian yang menjangkiti diri kita. Kelalaian menghabiskan masa berjam lamanya di depan laman sesawang dan FB hanya untuk melayan update status orang dan chatting akan perkara-perkara yang kurang penting. Kelalaian menghabiskan masa dengan banyak tidur dan kurang serius dalam memperbaiki prestasi ilmu dalam diri.

Semuanya bermula dengan diri sendiri.

Revolusi ummat menuju jalan islah dan jalan iman bukan dengan hanya memperbanyakkan peringatan populis di dinding-dinding FB atau di Twitter saja, tetapi dengan mula turun ke medan memperbaiki diri, membumikan teori ke medan realiti.

Manusia mungkin semakin terhubung sesama mereka dengan adanya laman sesawang seperti FB dan Twitter, namun semakin renggang dengan Tuhan melayan kesibukan urusan 24 jam dengan manusia.

Penutup : Menjejak Semula Iman

Dunia semakin berkembang, namun jangan iman kita semakin mengecut. Di kala dunia mengalami perkembangannya, janganlah kita hanyut dibawa arusnya.

Benar, iman ada turun naiknya, tetapi ketika turun, janganlah merosot terus sehingga. Biarlah dikawal turun naik itu agar tetap dalam ketaatan kepada Allah.

Mari jejak semula iman kita.

Imanlah yang akan menyelamatkan kita di hadapan Allah.

Iman membuahkan sensitiviti dalam hati. Sensitiviti untuk menjaga hak bermasyarakat. Sensitiviti untuk memelihara maruah diri sendiri.

Semoga di zaman fitnah, ketika ramai yang terikut-ikut melondehkan maruah diri sendiri mengikuti trend perkembangan teknologi yang ada, kita tidak terikut-ikut menjadi mangsa fitnah juga.


Petikan Artikel http://langitilahi.com


No comments:

Post a Comment