Tuesday 29 October 2013

REMAJA BUKAN KANAK-KANAK...



Seringkali kita membaca kisah-kisah pemuda-pemuda Islam pada zaman Rasulullah yang melakukan perkara-perkara yang, mengikut standard kita hari ini, agak luar biasa seperti Usamah bin Ziad, yang mengepalai bala tentera ke Rom ketika umur beliau sekitar 18 tahun.

Apabila kita membaca kisah-kisah tersebut dan kita lihat pula pemuda-pemuda kita pada hari ini, kita geleng kepala dan tepuk dahi.

“Orang macam kita ni ke yang nak jadi ketua tentera? Umur dah akil baligh, tapi perangai macam budak-budak lagi.”

Sedangkan Ali (ra) sudah pergi berjuang di jalan Allah dengan menggantikan Rasulullah (saw) di tempat tidur Baginda ketika kaum Quraish ingin membunuh Baginda sewaktu peristiwa hijrah. Umur Ali (ra) pada waktu itu baru 10 tahun.

Mengapa begitu? Kita mungkin boleh mengatakan bahawa para sahabat hidup bersama-sama Rasulullah (saw), maka mereka secara “otomatiknya” menjadi hebat. Kita pada zaman ini tiada Rasulullah (saw), maka para pemudanya tidak sehebat para sahabat.

Baiklah.

Bagaimana pula dengan David Farragut, admiral pertama Amerika Syarikat yang berjaya menawan dan mengawal sebuah kapal British sewaktu umur beliau hanya 12 tahun?

Bagaimana pula dengan Thomas Jefferson, presiden ketiga Amerika Syarikat yang mengendalikan seramai 250 pekerja di sebuah ladang besar ketika umur beliau hanya 12 tahun?

Bagaimana pula dengan Sir Richard Branson, seorang jutawan British yang berjaya melancarkan bisnes pertamanya ketika umur beliau hanya 19 tahun?

Mereka bukan sahabat. Mereka tidak hidup di zaman Rasulullah. Mereka bukan Muslim. Jadi, bagaimana kita boleh menjelaskan kehebatan individu-individu tersebut?

Soalan yang lebih menarik lagi ialah, mengapa para remaja kita ramai yang kebudak-budakkan lagi?

Dalam kisah “Romeo and Juliet” karya William Shakespeare, Romeo dan Juliet dalam kisah itu hanyalah berumur sekitar 13 atau 14 tahun. Mengikut standard kita hari ini, kita mungkin melihat mereka sebagai “budak-budak lagi”. Tetapi pada zaman Shakespeare, Romeo dan Juliet merupakan dua orang dewasa dan kisah mereka bukanlah kisah kanak-kanak seperti kisah “Snow White” atau “Jungle Book”.

Jadi, apa bezanya dari segi pemikiran zaman dulu dengan zaman sekarang?

Dalam Psikologi, telah dibahaskan tentang fasa-fasa hidup manusia. Pada awalnya, kita memahami bahawa fasa hidup manusia hanya terbahagi kepada dua iaitu fasa kanak-kanak dan fasa dewasa. Sekitar 200 tahun yang lalu, agak baru dalam sejarah peradaban manusia, telah ditambah satu fasa pertengahan yang dipanggil fasa adolescence.

Dan para remaja, digolongkan dalam fasa ini.

Sedikit demi sedikit, konsep adolescence ini diterima pakai oleh masyarakat dan sedar ataupun tidak, inilah konsep yang berkemungkinan besar mempengaruhi cara pemikiran kita tentang para remaja hari ini.

Ramai ahli Psikologi yang menentang konsep adolescence ini. Malah ada yang menyatakan bahawa fasa ini tidak patut wujud pun dalam leksikon budaya kita. Antara yang lantang bersuara menentangnya ialah Dr. Robert Epstein yang menulis sebuah buku yang hampir setebal kamus dewan yang bertajuk “The Case Against Adolescence: Rediscovering the Adult in Every Teen”.

Pada pengamatan saya, salah satu masalah terbesar tentang konsep adolescence ini ialah ia meletakkan remaja dalam grey area – bukan kanak-kanak dan bukan pula dewasa. Maka, bagi seorang remaja, dia akan terasa seperti di awangan.

“Aku ni kanak-kanak lagi ke? Ataupun sudah dewasa?”

Mungkin, krisis identiti yang menjadi buah mulut masyarakat tika seseorang itu dalam keremajaan bukan satu fenomena semula jadi. Mungkin, ianya satu fenomena buatan manusia hasil daripada “bidaah” adolescence.

Ia bukan sahaja bidaah (penambahan) dalam budaya manusia sejagat, ia juga merupakan bidaah dalam Islam. Dalam Islam, seseorang itu adalah kanak-kanak ataupun dewasa – tiada fasa pertengahan.

Setelah seseorang itu akil baligh, maka dia bukan lagi kanak-kanak. Dia sudah diiktiraf, dalam Islam, sebagai seorang dewasa kerana dosa pahalanya sudah mula dikira dan dia sudah mula bertanggungjawab terhadap keIslamannya.

Mungkin kita boleh katakan bahawa ketika akil baligh, dia berada di awal fasa dewasa. Tetapi apa yang pasti ialah, dia (sepatutnya) bukan lagi dalam fasa kanak-kanak.

“Pena catatan amal itu diangkat (tidak dicatat amalnya) untuk tiga orang, yakni orang gila sampai dia sedar, orang tidur sampai dia bangun, dan anak kecil sampai dia baligh.”

(Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Jadi, mengapa kita lihat ramai remaja yang akil baligh masih lagi kebudak-budakkan, sedangkan Allah sudah pun meletakkan tanggungjawab ke atas mereka untuk menjaga Islam mereka?

Teori saya: Kita, sebagai satu masyarakat, telah dan sedang melayan mereka seperti kanak-kanak. Kita telah memperbudayakan amalan ini. Kerana itu, mereka berlagak seperti budak-budak.

Kita rujuk kembali kisah-kisah para pemuda di zaman Rasulullah (saw). Apakah Baginda melayan mereka seperti kanak-kanak?



No comments:

Post a Comment